Di Malaysia, industri F&B kini lebih kompetitif berbanding sebelum ini – dan hidangan yang sedap tidak lagi menjamin kejayaan. Untuk terus kekal relevan dan mengatasi persaingan yang sengit, restoran dan kafe perlu membuat keputusan yang bijak berdasarkan data, merangkumi setiap aspek perniagaan – daripada rekaan menu hinggalah ke interaksi pelanggan.
Oleh itu, dalam blog ini, kami akan kongsikan 5 cara bagaimana analitik boleh bantu anda membuat keputusan lebih bijak dan meningkatkan prestasi serta keuntungan restoran anda.
1. Optimumkan Reka Bentuk Menu Dengan Data
Jika anda hanya menggunakan menu untuk menyenaraikan makanan yang dijual, anda sebenarnya terlepas peluang yang besar untuk menjana lebih banyak keuntungan.
Dengan menggunakan analitik F&B, anda boleh menilai dengan tepat apa yang berkesan dan apa yang tidak. Melalui data dari sistem POS anda, anda dapat mengenal pasti item menu yang paling banyak dipesan dan yang kurang mendapat perhatian. Data ini membolehkan anda membuat keputusan yang lebih bijak supaya menu sentiasa relevan, menarik dan menguntungkan.
Lihat contoh dari Yummy Puffs/Yummy Nasi Lemak House di Johor Bahru. Mereka mempunyai satu hidangan, Ayam Berempah, yang sepatutnya menjadi pilihan utama memandangkan ia adalah sajian tradisional kegemaran rakyat Malaysia. Walaupun sedap dari segi rasa, hidangan ini tetap tidak mencatatkan jualan seperti yang dijangkakan.
Mereka sudah mencuba pelbagai strategi seperti promosi, tawaran, dan diskaun untuk meningkatkan jualan, tetapi tiada satu pun yang benar-benar berkesan. Akhirnya, mereka mengambil keputusan untuk semak semula data jualan secara mendalam. Hasil daripada analisis tersebut, mereka hanya melakukan satu perubahan yang mudah dengan melabelkan Ayam Berempah sebagai ‘bestseller’ dalam menu.
Kesannya? Serta-merta.
Apabila hidangan itu diserlahkan sebagai “bestseller”, pelanggan mula memberi perhatian. Kesan FOMO (takut terlepas peluang) mula memainkan peranan, dan Ayam Berempah terus melonjak menjadi salah satu item yang paling laris. Jualan untuk hidangan itu berganda, membuktikan bahawa mengangkat hidangan sebagai “bestseller” mampu meningkatkan permintaan.
Inilah kuasa menu yang berpandukan data. Melalui analitik, anda boleh mengoptimumkan menu untuk memenuhi selera pelanggan dan meningkatkan keuntungan restoran, sama ada dengan mengubah harga, mempromosikan ‘bestseller’, atau menarik balik hidangan yang kurang popular.
2. Percepatkan Operasi Harian & Elak Kesilapan Yang Merugikan

Dalam suasana restoran yang sibuk dan pantas, walaupun kelewatan kecil boleh memberi kesan besar terhadap keuntungan anda. Masa menunggu yang lama, servis yang perlahan, dan kesilapan dalam pesanan boleh membuatkan pelanggan kecewa, menyebabkan kerugian, dan menjejaskan reputasi perniagaan.
Tetapi dengan analitik F&B, anda boleh mengenal pasti dan mengatasi masalah ini dengan cepat — sekali gus memperbaiki operasi harian dan mengurangkan kesilapan yang merugikan.
Contohnya, jika restoran anda mengalami waktu menunggu yang lama ketika waktu puncak, anda boleh menggunakan analisis data dari sistem POS untuk mengetahui dengan tepat punca berlakunya kelewatan.
Adakah pelanggan mengambil masa lama untuk buat pesanan kerana menu yang terlalu rumit? Adakah berlaku kesesakan di dapur? Atau isu sebenarnya adalah kekurangan kakitangan?
Sebagai contoh, jika anda mendapati pelanggan mengambil masa lama untuk membuat pesanan, mungkin sudah tiba masanya untuk memperkenalkan QR Order & Pay. Dengan membenarkan pelanggan membuat pesanan terus melalui telefon pintar mereka, anda bukan sahaja mempercepatkan servis, malah boleh memastikan meja sentiasa tersedia untuk pelanggan seterusnya dan meningkatkan kepuasan mereka.
Selain itu, analitik F&B juga dapat membantu anda mengoptimumkan pengurusan inventori. Dengan menjejak tahap stok secara masa nyata, anda boleh mengelakkan situasi kehabisan bahan penting semasa waktu sibuk — memastikan dapur berjalan lancar dan tiada gangguan servis.
3. Tingkatkan Pengalaman Pelanggan & Kesetiaan Mereka
Pelanggan yang setia sebenarnya tidaklah sesukar mana — ia hanya memerlukan anda untuk memanfaatkan data yang sudah pun anda miliki.
Dengan menggunakan analitik F&B, anda boleh mendapatkan gambaran tentang gelagat pelanggan dan menggunakan maklumat ini untuk meningkatkan pengalaman mereka serta membuat mereka rasa lebih dihargai.
Sebagai contoh, jika anda perasan seorang pelanggan tetap sentiasa memesan hidangan yang sama, anda boleh menghantar tawaran khas untuk hidangan kegemaran mereka apabila mereka berkunjung semula. Atau jika anda tahu ada pelanggan yang sering makan di restoran anda setiap hujung minggu, anda boleh tawarkan promosi khas seperti “Weekend Offer” sebagai insentif untuk mereka terus kembali.
Bukan itu sahaja — dengan maklumat seperti tarikh lahir, ulang tahun, atau detik istimewa lain, ucapan peribadi yang disertakan dengan tawaran diskaun eksklusif boleh membina hubungan yang lebih mendalam dari segi emosi.
Bayangkan pelanggan masuk ke kafe anda dan disambut dengan ucapan, “Selamat Hari Jadi! Ini kejutan istimewa untuk anda hari ini.” Bukan sahaja ia membuat mereka rasa gembira, malah rasa dihargai — dan ini meningkatkan kemungkinan mereka untuk datang semula.
Sentuhan peribadi seperti ini sebenarnya boleh dijalankan secara automatik, dan merupakan cara terbaik untuk membina pelanggan setia — tanpa perlu proses yang rumit atau mahal.
Dengan StoreHub Loyalty, anda boleh cipta dan urus loyalty program dengan lebih mudah dan mengikut keperluan perniagaan anda. Sistem ini berfungsi seiring dengan POS anda, membolehkan anda menjejak pembelian pelanggan dan tawarkan ganjaran khas berdasarkan pilihan mereka — semuanya dalam satu platform.
Dengan ini anda tidak perlu untuk melabur dalam sistem tambahan atau tetapan kompleks. Anda juga boleh berikan ganjaran seperti diskaun, loyalty point, atau promosi khas kepada pelanggan setia berdasarkan sejarah pembelian mereka. Ini akan membuat mereka rasa dihargai tanpa sebarang usaha tambahan dari pihak anda.
Personalisasi berdasarkan data bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman pelanggan, malah menarik pelanggan untuk datang semula dan menjadikan kesetiaan pelanggan lebih mudah untuk dikekalkan dan dikembangkan.
4. Optimumkan Kempen Pemasaran Dengan Panduan Data

Menjalankan kempen pemasaran yang berkesan sangat penting untuk menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan sedia ada. Tetapi persoalannya — bagaimana anda tahu kempen mana yang benar-benar berkesan?
Dengan analitik F&B, anda boleh mendapatkan data yang bernilai tentang penglibatan pelanggan dan prestasi jualan. Sebagai contoh, jika anda sedang menjalankan promosi untuk satu hidangan popular, data analitik boleh menunjukkan berapa ramai pelanggan menebus tawaran tersebut, jumlah perbelanjaan mereka, dan pesanan tambahan yang mereka buat. Ini dapat membantu anda mengenal pasti strategi yang berjaya dan bahagian mana yang perlu diperbaiki.
Media sosial juga memainkan peranan yang penting. Analitik boleh bantu anda mengenal pasti hidangan mana yang paling mendapat perhatian di platform seperti Instagram, Facebook atau TikTok. Jika satu hidangan mendapat penglibatan (likes, comments and shares), anda boleh menonjolkan hidangan itu dalam kempen akan datang atau menawarkan pada harga promosi.
Anda juga boleh gunakan maklum balas dari Google Reviews dan platform dalam talian lain sebagai panduan pemasaran. Jika pelanggan sering memuji satu hidangan atau menyebut pengalaman tertentu yang mereka sukai, itu petanda jelas untuk anda serlahkan dalam kempen promosi seterusnya. Sebaliknya, jika terdapat aduan atau cadangan penambahbaikan, anda boleh menggunakan maklumat itu untuk perbaiki tawaran anda dan tingkatkan kepuasan pelanggan.
Dengan analitik F&B, anda boleh jejak strategi pemasaran yang paling berkesan — sama ada melalui kempen, media sosial atau saluran maklum balas pelanggan. Ini membolehkan anda optimumkan usaha pemasaran, meningkatkan ROI, dan akhirnya meningkatkan jumlah pelanggan serta jualan.
5. Ramal Jualan & Permintaan Untuk Buat Keputusan Perniagaan Lebih Bijak
Mengendalikan restoran yang berjaya bermula dengan memahami keperluan pelanggan. Ini bermula sebelum mereka melangkah masuk ke kedai anda.
Dengan menganalisis data jualan terdahulu, anda boleh meramal waktu puncak. Ramalan ini membolehkan anda menyelaraskan jumlah kakitangan, memastikan inventori sentiasa cukup dengan bahan yang betul, malah boleh mengoptimumkan tawaran menu berdasarkan permintaan pelanggan semasa waktu sibuk.
Contohnya, jika satu hidangan biasanya laris ketika hujung minggu atau cuti umum, anda boleh pastikan stok bahan mencukupi atau tawarkan sebagai hidangan istimewa ketika tempoh tersebut untuk tingkatkan jualan.
Meramal permintaan pelanggan juga dapat membantu anda mengurangkan pembaziran. Dengan anggaran permintaan yang tepat, anda boleh merancang tahap stok dengan lebih bijak bagi mengelakkan terlebih stok atau kehabisan stok, sekaligus mengurangkan pembaziran makanan dan kos yang tidak perlu. Selain itu, apabila anda tahu bila permintaan akan tinggi, anda boleh menyesuaikan corak pesanan bahan mentah dengan pembekal agar stok sentiasa mencukupi dan tidak berlebihan.
Bukan hanya pada aspek makanan — ramalan data ini juga boleh digunakan untuk perancangan kakitangan. Dengan menggunakan data untuk meramal waktu sibuk, anda boleh mengurus kos buruh dengan lebih efisien dan menjadualkan kakitangan dengan lebih strategik — cukup orang ketika ramai pelanggan, dan elakkan pembaziran tenaga kerja ketika waktu lengang.
Bila anda mempunyai gambaran jelas tentang apa yang bakal berlaku, anda juga boleh merancang promosi dengan lebih efektif. Dengan menjangka tempoh permintaan tinggi, anda boleh menyususn kempen pemasaran, tawaran khas atau diskaun pada waktu yang paling strategik — untuk memaksimumkan penglibatan pelanggan dan melonjakkan jualan.
Kesimpulan

Untuk kekal berjaya dalam industri restoran yang serba pantas hari ini, analitik F&B menawarkan pelbagai faedah yang besar. Dengan memahami pelanggan anda secara mendalam, anda boleh mula membuat keputusan yang lebih berfokus. Seterusnya, dengan mengoptimumkan aspek penting seperti reka bentuk menu, prestasi staf, dan pemasaran, anda dapat meningkatkan kepuasan pelanggan, mengurangkan kos operasi, dan mendorong lebih banyak jualan.
Menggunakan data, anda bukan sahaja boleh kekal mendahului trend — malah boleh membuat keputusan yang lebih bijak dan strategik untuk kebaikan perniagaan dan pelanggan anda.
Recent Comments